Pendekar

Pendekar
Pantang Pendekar Berundur Tapak

Sunday 10 April 2016

Pendekar Awang Sulong Merah Muda Ibni Al Marhum
Raja Helang Laut - Siapa dan dari mana asalnya ?

Assalamualaikum wbt.

Selama berdekad kita telah dibuai oleh sebuah hikayat yang diceritakan oleh seorang Penglipurlara tersohor iaitu Pawang Ana, ditulis pula oleh Raja Haji Yahya sekitar tahun 1907 masehi & diterbitkan pula oleh 2 orang Inggeris bernama Sir R.Winstedt dan A.J Sturrock. Lenggok gaya bahasa serta jalan penceritaannya amat menarik sekali sehingga diangkat menjadi salah sebuah teks rasmi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada era 70-an hingga 80-an.






Bukan saya bermaksud untuk menidakkan kisah-kisah yang telah dicatatkan didalam hikayat tersebut tetapi hanya sekadar memperbetulkan, menambah baik serta mengajak para pembaca
yang meminati seni mempertahankan diri, kisah-kisah pahlawan silam serta sejarah yang tinggal misteri untuk sama-sama bermuzakarah serta berkongsi idea dan pandangan cuma.Juga bagi memberi penjelasan tentang siapa dan dari manakah asal usul Pendekar Awang Sulong Merah Muda ini kerana terdapat segelintir individu yang mengaku bahawa dirinya adalah pewaris tunggal ilmu persilatan peninggalan Pendekar Awang Sulong Merah Muda. Terdapat juga kisah-kisah yang kurang tepat yang mana dikatakan bahawa Awang Sulong Merah Muda ini berasal dari negara Siam atau Wilayah Pattani serta beragama Buddha pada asalnya, mempunyai saudara perempuan yang bernama Semerah, merupakan anak angkat kepada Uli Mak Andjeng dan pelbagai lagi cerita yang kurang tepat. Justeru saya berasa terpanggil untuk memperbetulkannya sekadar yang termampu kerana darah daging Pendekar Awang Sulong Merah Muda masih lagi hidup dan berketurunan sehingga sekarang.

"Bersilat tak jadi gila. Kalau nak gila, guru silat tu akan gila dahulu" - Tok Uban (Majalah Beladiri - 2009 )




Ungkapan keramat Mahaguru Ahmad Hattar Shafie itu seringkali terngiang-ngiang ditelinga saya, juga saya yakin ungkapan itu juga masih segar dalam ingatan pemilik dan penerbit majalah Beladiri saudara Azlan Ghani.

Setelah mengembara, menelaah dan mencari akan cerita sebenar ternyata watak Pendekar Awang Sulong Merah Muda itu sebenarnya memang wujud dan bukanlah sekadar hikayat atau kisah dongeng yang cuma menjadi bahan bacaan ringan. Walaupun maqam atau kuburnya tidak diketemui namun dengan bukti "barang-barang peninggalan" allahyarham Pendekar Awang Sulong Merah Muda telah membuka sebuah lembaran baru dalam konteks sejarah bangsa Melayu khasnya buat anak-anak negeri Perak D Ridzuan.

Seperti yang dikisahkan oleh pewaris ke-VII panglima kepada saya iaitu Mahaguru Ahmad Hattar Shafie atau lebih mesra dengan panggilan "Cikgu Hattar" di Perak, "Abg Mat Not" di Kedah juga mesra disapa Tok Uban dikalangan pelajar-pelajar seni persilatan Pendekar Merah Muda - ternyata hampir 70% daripada isi kandungan hikayat adalah benar. Ini disokong dengan kisah yang diceritakan oleh beberapa orang penghulu orang asli terutamanya dari suku kaum Jahai dan Temiar _ Awang Sulong Merah Muda sememangnya wujud dan lahir sebagai anak jati negeri Perak D Ridzuan dan beliau merupakan salah seorang pahlawan terbilang pada zamannya disamping Panglima Hitam (yang sehingga kini personaliti beliau masih menjadi persoalan dan perbincangan siapa sebenarnya beliau), Panglima Pancung Tak Bertanya dan lain-lain.

Secara ringkasnya, Pendekar Awang Sulong Merah Muda berdarah raja sementelah ayahanda beliau yang bernama Helang Rantau yang belayar dari Terengganu (Pati Talak Trengganu) ke bandar Mengkaleh (kini dikenali sebagai daerah Menglembu yang dahulunya terletak di dalam
daerah Bruas Perak ) yang berkahwin dengan wanita tempatan bernama Uli Mak Andjeng.Beliau menjadi yatim apabila ayahandanya mangkat ketika berada di lautan dan hidup bersama ibunya sahaja. Sebagai anak tunggal, telah menjadi resmi orang-orang zaman dahulu menginginkan anak-anak lelaki mereka mendalami ilmu persilatan serta pandai dalam hal-ehwal agama justeru bonda beliau telah menyerahkan Awang Sulong kepada seorang Penghulu Orang Asli bernama Batin Alam ketika beliau berusia dalam linkungan 17-18 tahun. 

Beliau merupakan seorang anak yang amat degil dan suka menyendiri, akan tetapi juga merupakan seorang yang amat cerdik sehingga diceritakan bahawa beliau dapat menguasai ilmu mempertahankan diri seiring dengan ilmu agama hanya dalam masa 7 bulan.Sekembalinya dari perguruan, beliau telah merantau hingga ke negeri Kedah (yang pada ketika itu dibawah pemerintahan kerajaan Siam keturunan Alaungpaya
yang menakluk kerajaan Islam Ayuthiya sekitar 1700-an)dan pernah berkhidmat pada zaman Raja Ong Maha Perita Daria atau lebih terkenal dengan nama Raja Bersiong. Gelaran Raja Bersiong itu diberikan oleh rakyat jelata sementelah baginda terlalu obses dengan darah manusia serta baginda sebagai raja berdaulat merupakan seorang raja yang beragama Buddha dan sering mengenakan pakaian serta kelihatan seperti watak didalam hikayat Mahabrata bertujuan agar rakyat sentiasa tunduk takut dan patuh kepada baginda.

Disamping berkhidmat dibawah pemerintahan kerajaan Siam Kedah, beliau juga merupakan salah seorang penyebar ajaran Islam di Kedah dan pernah diangkat menjadi duta ke beberapa negeri di bawah jajahan Siam.Beliau pernah berkahwin tetapi isteri beliau merupakan rakyat biasa dan bukan berketurunan raja seperti yang dihikayatkan. Beliau dikurniakan seorang anak lelaki.

Kerajaan Siam berpandangan bahawa Kedah bakal menjadi pesaingnya suatu hari kelak berikutan pengaruh Kedah semakin kuat, penyebaran agama Islam yang semakin meluas serta mengambil kira akan peristiwa-peristiwa yang telah lalu yang mana sikap kealpaan telah menyebabkan kerajaan Siam ditakluki oleh kerajaan Islam Ayuthia.Gusar dengan keadaan semasa lalu kerajaan Siam menggunakan beberapa alasan untuk menyerang Kedah. Apatah lagi apabila kerajaan Siam mendengar khabar angin bahawa Raja Ong Maha Perita Daria memeluk agama Islam maka bertambah amarahlah Kerajaan Siam pada waktu itu.Pendekar Awang yang pada ketika itu berada di Siam, bergegas pulang ke Kedah menyampaikan berita tersebut kepada Raja Bersiong disamping mencari anak lelaki tunggalnya namun tidak berjumpa.Kebetulan pula pada masa yang sama, rakyat jelata bangun memberontak berikutan kegemaran pelik Raja Bersiong yang dahagakan darah manusia lalu berteraskan prinsip pantang Melayu menderhaka kepada raja, beliau melarikan diri bersama Raja Bersiong dengan bantuan Tok Me. Pada waktu itulah beliau telah meninggalkan 3 benda berupa sebilah lawi ayam, sebilah tekpi dan sehelai sejadah lalu bersumpah barang siapa yang dapat mengambil peninggalannya itu, maka dialah pewaris tunggal yang dicari-carinya. Setelah itu beliau melarikan diri bersama Raja Bersiong dan bersembunyi di Kota Raja Bersiong yang ada sehingga sekarang. Kota yang terletak di kawasan perimahan Taman Tabung Haji dalam daerah Kubang Pasu itu juga di dakwa sebagai Istana Tunku Kudin atau nama sebenar baginda Tunku Dhiauddin Ibn Sultan Zainal Rashid yang dilucutkan jawatan sebagai Raja Muda Kedah oleh kakandanya Sultan Ahmad Tajuddin III akibat terlibat dalam perang saudara di Selangor. Namun, pemergian Pendekar Awang Sulong tidak berjejak berikutan beliau amat dikehendaki oleh tentera Siam dan Raja Bersiong juga melarikan diri ke daerah Baling berikutan rakyat jelata giat mencari untuk membunuh baginda. Menurut lagenda, terdapat sebuah penempatan yang dinamakan Siong di dalam daerah Baling, Kedah memgambil sempena tempat dimana Raja Bersiong membuang siongnya yang semakin panjang. Dikhabarkan juga, setelah membuang siongnya, Raja Bersiong telah memeluk agama Islam dan menyamar menjadi rakyat biasa. Ada juga pendapat menyatakan Raja Bersiong memeluk agama Islam lebih awal daripada itu. Rentetan dari peristiwa melarikan diri dan bersembunyi ini mengakibatkan jejak Pendekar Awang Sulong hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan hingga ke hari ini.

Berita peninggalan barang-barang Pendekar Awang heboh diperkatakan namun tiada seorangpun yang berani atau berjaya mengambil barang-barang tersebut - sebilah tekpi dan sebilah lawi ayam yang ditikam terbenam didalam sebongkah batu berserta sehelai sejadah lusuh. Namun pada suatu hari seorang anak lelaki dalam lingkungan 10 tahun secara tidak sengaja berjaya mencabut kedua-dua 
bilah senjata tersebut lalu membawa pulang ke rumah. Nama kanak-kanak tersebut adalah Mat Noit Bin Awang iaitu keturunan pertama yang diketahui oleh nenda kepada Mahaguru Ahmad Hatta iaitu Allahyarham Mahaguru  Zaid Bin Hassan.Sehingga kini, salah 2 daripada 
3 barang peninggalan Pendekar Awang Sulong Merah Muda itu masih utuh tersimpan rapi iaitu sebilah tekpi (yang disahkan berusia dalam lingkungan 300 tahun ) serta sebidang sejadah. (Manakala lawi ayam telah hilang dalam tahun 1969 iaitu ketika sejarah hitam melanda negara iaitu tragedi 13 Mei 1969.)

Dalam kekalutan serangan Siam ke atas Kedah pada waktu itu, Mat Noit dan ibunya telah melarikan diri ke Perak sementelah negeri Perak pada ketika itu berada dalam keadaan aman, juga berkeinginan kuat untuk mencari nendanya yang dikatakan tinggal di Bukit Chandan (dalam daerah Kuala Kangsar). Satu peristiwa aneh yang berlaku ketika Mat Noit serta rombongan dari Kedah melalui satu kawasan belukar berbukit menuju ke pengkalan dimana desepanjang jalan, banyak ular berbaris dikiri-kanan jalan sambil menundukkan kepala. 

Setelah berminggu belayar, mereka memudiki sungai Perak dan masuk melalui kawasan Beting Beras Basah. Ketika tiba di kawasan Maqam Tok Temong - muncul seekor buaya putih mengiringi perahu layar mereka serta memandu arah hingga mereka tiba di pengkalan Lubok Mak Andjeng. Orang-orang yang berada bersama dalam perahu layar tersebut serta mereka yang menyaksikan dari atas pangkalan berasa takut dan kagum dengan peristiwa itu. 

Berita tentang kedatangan Mat Not serta kehebatan beliau bersama ular dan buaya putih terus menjadi buah mulut orang tempatan sehingga sampai ke pengetahuan Batin Alam. Bersegera beliau mengarahkan anak buahnya menjemput Mat Noit serta ibunya ke rumah beliau. Dalam pertemuan itulah, segala kekusutan terungkai di mana Mat Noit sememangnya anak kepada pasangan Awang Sulong  Merah Muda dan Nuramah yang telah menghilangkan diri tanpa jejak. Namun sayangnya, nenda Mat Not iaitu Uli Mak Andjeng diberitakan telah ghaib di tebing sungai Perak ketika mengambil wudhu' yang sehingga kini namanya di abadikan di suatu lubuk iaitu Lubok Mak Andjeng.





Maka menetaplah Mat Not bersama ibunya di rumah peninggalan nendanya Uli Mak Andjeng yang terletak berhampiran dengan Istana Lembah hingga beliau dewasa. Dengan kepandaian beliau dalam selok belok agama serta ilmu kependekaran, beliau telah pernah dilantik sebagai timbalan mufti negeri Perak dengan membawa Panglima Pancung Tak Bertanya. Panglima Mat Noit menjadi mufti Perak yang pertama sebelum Perak mempunyai sultan lagi. Salalsilah mufti negeri Perak hanya mula dicatatkan bermula daripada   Daeng Selili Dato Maharajalela Putera Pancung Tak Bertanya berikutan Daeng Selili ketika pemerintahan Sultan Perak Ke  16 KDYMM Sultan Perak, Sultan Mahmud Syah . Sehingga kini, pangkat serta gelaran Dato Seri Panglima Pancung Tak Bertanya masih wujud,   hanya tugasnya diambil alih oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak berikutan pembentukan Malaysia serta penggubalan undang-undang yang memansuhkan hukuman pancung. Kini, pedang yang pernah digunakan untuk memancung kepala para pesalah negeri Perak masih elok tersimpan di rumah keturunannya ( adik sepupu kepada Mahaguru Ahmad Hata Shafie) di Tanjong Rambutan, Ipoh Perak.




Nasab keturunan Pendekar Awang Sulong Merah Muda :

1. Raja Helang Laut Bin Raja Helang Mawai
2. Awang Sulong Merah Muda Ibni Al Marhum Raja Helang Laut
3. Panglima Pancung Tak Bertanya Mat Not Ibni Al Marhum Awang          Sulong Merah Muda
4. Hassan bin Mat Not
5. Zaid Bin Hassan
6. Shafie Bin Zaid (Pernah berkhidmat di Istana Iskandariah sebagai    Pawang Di-Raja ketika di bawah pemerintahan Almarhum KDYMM Sultan    Idris Iskandar    Shah II )
7. Ahmad Hattar Bin Shafie






"Tunduk aku bukan takut, lari aku bukan kalah
Tunduk aku agar kau mengikut, lari aku mencari helah" - Allahyarham Mahaguru Shafie Bin Zaid